Saturday, March 12, 2011

..:::pinggan:::..

salamu alaik.

diceritakan satu kisah tentang seorang pemuda tinggal di sebuah kampung. pemuda sangat terkenal dengan sifat pemurahnya. penduduk kampung tersebut sangat menyenangi peribadi pemuda ini. 


nak dijadikan cerita, pemuda ini mempunyai koleksi pinggan yang sangat banyak. sesuai untuk digunakan waktu kenduri kendara. pada suatu hari, datang pemuda A berhajat untuk meminjam pinggan-pinggan ini untuk digunakan di dalam majlisnya. dengan rasa berbesar hati, pemuda ini pun meminjamkan pinggan-pinggan miliknya. setelah tamat majlisnya, alhamdulillah, pemuda A mengembalikan pinggan-pinggan tersebut dalam keadaan bersih tanpa sebarang cacat cela sebagaimana keadaan asal pinggan-pinggan tersebut sebelum dipinjamnya. pemuda ini menerima pinggan-pinggannya dengan hati berbunga riang dan diletakkan kembali pinggan-pinggan tersebut di tempatnya

pada waktu lain pula, datang pemuda B berjumpa dengan pemuda ini. pemuda B juga punya tujuan yang sama seperti pemuda A, berhasrat untuk meminjam pinggan-pinggan pemuda ini. sekali lagi, tanpa ada sebarang rasa keberatan, pemuda ini dengan senang hati meminjamkan pinggan-pinggannya. apabila majlisnya berakhir, pemuda B pun menghantar kembali pinggan-pinggan tersebut dalam keadaan kotor tidak berbasuh. pemuda ini tetap menerima pinggan-pinggan ini dengan hati terbuka. pinggan-pinggan ini dibasuh sebersih-bersihnya sehingga hilang segala kotoran yang ada. al maklumlah, pinggan yang telah terlekat sisa-sisa makanan untuk beberapa waktu, pasti sukar untuk dibersihkan dalam masa yang sekejap. setelah dipastikan semuanya telah bersih, tiada lagi kotoran yang tertinggal, barulah dikembalikan pinggan-pinggan tersebut ditempat asalnya.


















setelah berlalu beberapa waktu, datang pula pemuda C bertemu dengan pemuda ini, dengan hajat yang sama dengan pemuda A dan B, iaitu berhasrat ingin meminjam pinggan-pinggan yang dipunyai pemuda ini. sepertimana pemuda A dan B, pemuda C juga tidak disia-siakan hajatnya. pemuda ini tetap berbesar hati meminjamkan pinggan-pinggannya. tidak terlintas untuk punya rasa serik. dengan gembira, pemuda C menggunakan pinggan-pinggan tersebut seenaknya. entah bagaimana, apabila tamat majlisnya, pinggan-pinggan yang dipinjamnya semuanya telah hancur berderai, tiada lagi rupa pinggan. lalu, tanpa rasa segan, pinggan-pinggan yang telah kehilangan rupa ini tetap dipulangkan kepada pemiliknya. pemilik pinggan ini tetap menerima pinggan-pinggannya. namun, apa lagi yang tinggal pada pinggan yang lebih layak dipanggil deraian kaca?bagaimana mungkin serpihan-serpihan kaca ini dapat diletakkan kembali di tempatnya? maka, pilihan apa lagi yang pemuda ini ada selain mencampakkan sahaja serpihan-serpihan kaca ini ke dalam tong sampah? itulah sahaja tempat selayaknya..



**********************************************************************************

begitulah kisahnya diri kita. diri yang kembali pada Allah dalam keadaan suci, bersih, beriman kepada-NYA, insyaAllah pasti syurga menjadi miliknya. diri yang kembali pada DIA dalam keadaan yang kotor, dipalit dengan lumpur dosa dan noda, pasti "dicelup" seketika di dalam neraka. dan jika kembali kepada-NYA dalam keadaan kufur, hilang fitrah asal kejadian, tempat mana lagi yang lebih layak selain kekal di dalam neraka buat selama-lamanya? na'uzubillahi min zaalik.

~ allahumma ya muqallibal qulub, tsabbit quluubana 'ala diinik wa'ala taa'atik..~